Friday, December 09, 2005

MENDESAK SUPAYA DIGUGURKAN PERTUDUHAN YANG DIKENAKAN KE ATAS EMPAT ORANG MAHASISWA

KENYATAAN AKHBAR GAGASAN MAHASISWA UNIVERSITI MALAYA (GAGASAN )

Bertarikh 7 Disember 2005

MENDESAK SUPAYA DIGUGURKAN PERTUDUHAN YANG DIKENAKAN KE ATAS EMPAT ORANG MAHASISWA

Kami, Gagasan Mahasiswa Universiti Malaya (Gagasan) secara tegas mendesak pihak universiti bagi kampus Universiti Malaya (UM) supaya menggugurkan pertuduhan yang dikenakan ke atas empat orang mahasiswa di kampus tersebut memandangkan segala pertuduhan yang dikenakan ke atas mereka merupakan pertuduhan yang tidak munasabah serta menggambarkan sikap ganas pihak Hal Ehwal Pelajar dan Alumni (HEPA) yang semakin zalim mencengkam pergerakan Mahasiswa.

Keempat-empat orang Mahasiswa yang dikenakan tindakan tersebut ialah Abdul Hafiz b. Muhammad Din,22; Mohd Nazri b Mohd Yunos,21; Muhammad Radzi b Mohd Zawawi,21; dan Abdullah b Mohd Salleh,21. Kesemua mereka merupakan pelajar dari Akademi Pengajian Islam Universiti Malaya.Pertuduhan-pertuduhan yang dikenakan ke atas mereka adalah kerana didakwa mengadakan aktiviti menyambut kedatangan Mahasiswa tahun satu bagi sesi kemasukan 2005/06 pada julai 2005 yang lepas dan dianggap perbuatan tersebut telah memalukan nama baik Universiti.

Selaras dengan pandangan YB Datuk Seri Nazri Aziz yang merupakan pengerusi Jawatan kuasa KAUKUS Parlimen yang juga merangkap Menteri di jabatan Perdana Menteri terhadap kes-kes perbicaraan yang berlaku sebelum ini,Kami,GAGASAN berpendirian bahawa pertuduhan yang dikenakan ke atas 4 orang mahasiswa ini merupakan satu bentuk pencabulan terhadap prinsip-prinsip demokrasi dan hak asasi manusia.Ini kerana kes-kes yang disabitkan ke atas mereka adalah berkaitan dengan hak untuk mahasiswa berkumpul,bersuara dan memperjuangkan pandangan dan pendirian.Selain itu,aktiviti yang didakwa dilakukan oleh mereka juga adalah merupakan aktiviti yang murni dan dilakukan atas dasar kemanusian bagi membantu dan membimbing mahasiswa baru tentang selok belok kehidupan di Universiti.Kami juga beranggapan bahawa pihak Universiti tidak sepatutnya mengambil tindakan yang sedemikian kerana tindakan mereka tidak selaras dengan pendekatan kerajaan sekarang yang lebih terbuka dan menekankan aspek integriti dalam pentadbiran mereka.Maka dengan itu,kami bertegas untuk mengaku tidak bersalah terhadap segala pertuduhan yang telah dibacakan semasa proses perbicaraan sebentar tadi dan memohon supaya pihak pendakwa mengemukakan bukti dan saksi bagi membuktikan kesalahan mereka.

Maka kami turut menuntut supaya:

1. Digugurkan segala pertuduhan yang dikenakan ke atas semua mangsa.

2. Proses perbicaraan ke atas mereka dilakukan secara profesional dan adil dengan membenarkan tertuduh menuntut dan melaksanakan hak-hak mereka.

3. Menghentikan sebarang bentuk serangan psikologi yang boleh mengganggu ketenteraman dan emosi mangsa.

4. Segala sikap buas dan zalim pihak HEPA dihentikan serta tidak lagi mensabitkan sesiapa jua dikalangan Mahasiswa dengan pertuduhan-pertuduhan yang tidak munasabah dan sengaja direka untuk menakut-nakutkan Mahasiswa.

Selain itu,terdapat beberapa lagi kes tindakan zalim ke atas mahasiswa antaranya adalah perbicaraan yang dikenakan ke atas 3 orang Mahasiswa iaitu Sdr Karim b Abd Rahim,Sdr.Zainulfaqar Yaacob dan Sdr Hafizuddin Mohammad atas beberapa kesalahan yang berkaitan dengan pilihanraya kampus.Kes mereka akan diperdengarkan semula pada 8 Disember 2005 jam 9.30 pagi di Komplek Perdana Siswa Universiti Malaya.Selain daripada itu,seramai 41 orang mahasiswa dari Kolej Kediaman Kelima turut dibuang daripada kolej tersebut atas kesalahan yang belum dibuktikan iaitu terlibat dalam siri-siri demonstrasi yang dianjurkan oleh Solidariti Mahasiswa malaysia (SMM),selain ada di antara mereka yang dikenakan tindakan hanya kerana menjadi calon,wakil calon dan menyokong calon-calon GAGASAN dalam pilihanraya kampus pada september yang lepas.Bagi kami ini satu tindakan yang berunsur dendam dan politik yang hanya dikenakan semata-mata untuk menjaga kepentingan kuasa mereka.Justeru kami sekali lagi mendesak supaya pihak Universiti Malaya mengambil tindakan yang rasional ke atas Mahasiswa dan mengetepikan segala kepentingan politik tertentu ke arah menjunjung tradisi kecemerlangan Universiti Perdana ini.Mudah-mudahan dengan langkah-langkah tersebut kita dapat mengembalikan kedudukan UM di persada dunia.

Disediakan oleh,

GAGASAN MAHASISWA UNIVERSITI MALAYA (GAGASAN)

Bilik kuliah Masjid Kolej Islam Malaya,Petaling Jaya

7 Disember 2005

2.00 petang

0 Comments:

Post a Comment

<< Home